11 April 2009
MARI MENGIKUT DAN MENGAMAL SUNNAH
Oleh: MUSALLY MOKSIN
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH S.W.T,
Hari Jumaat adalah hari mulia, penuh barakah dan merupakan penghulu segala hari. Tepat pada saat dan waktunya, marilah kita bersama-sama dengan penuh khusyuk, ikhlas, tawaduk dan penuh insaf dengan menjadikan hari mulia ini hari menggilap semula serta meningkatkan lagi taqwa dan iman kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan apa yang diperintah-Nya, kemudian dalam masa yang sama berusaha dengan tekad meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Mudah-mudahan hidup kita akan lebih diberkati dan berbahagia di dunia dan juga di akhirat.
MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Maulidur Rasul s.a.w. atau Hari Keputeraan Baginda Nabi s.a.w. dan peribadi Baginda Nabi s.a.w. adalah tersangat akrab dengan jantung hati atau kehidupan umat Islam. Malah setiap tahun hari bersejarah ini disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Kenapa dan mengapa umat Islam menyambut serta mengingati tarikh itu, 12 Rabiulawal, Tahun Gajah bersamaan hari Isnin. Apakah sekadar mahu memperingati tarikh itu semata-mata. Sebagai umat Islam yang beriman, jawapan paling tepat ialah kita peringati dan sambut Hari Keputeraan Baginda Nabi s.a.w. adalah untuk mengembalikan kesedaran dan juga cinta kita kepada Baginda Nabi s.a.w. dengan cara mengikut serta mengamalkan sunnah-sunnahnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"...Dan apa jua yang diperintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.) kepada kamu maka terimalah dan amalkanlah, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab siksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)".
(S. Al-Hasyr: 7)
JEMAAH JUMAAT YANG
DIMULIAKAN,
Sunnah Rasulullah s.a.w. bukan sekadar kahwin atau beristeri 2, 3 dan 4 atau berpoligami yang diperdebatkan oleh masyarakat mutakhir ini. Bukan juga semata-mata sunnah pada pakaian, sementara kita mengabaikan atau melupakan sunnah yang lebih utama, iaitu; sunnah-sunnah dalam melaksanakan perintah agama yang wajib. Seperti memelihara amanah dan adil dalam poligami, menutup 'aurat, melakukan amar makruf wa nahyi mungkar dan lain-lain. Padahal, sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. yang mesti diikut dan diamalkan oleh umat Islam masih banyak dilupakan, malah seperti sengaja disembunyikan atau tidak dibesar-besarkan sebagaimana masyarakat membesarkan sunnah berkahwin lebih dari seorang isteri. Kerana itu, umat Islam adalah tidak wajar menyempitkan makna dan skop sunnah yang sebenar. Sunnah Rasulullah s.a.w. itu mencakup perbuatan, kata-kata, Hadith hatta diamnya. Ini bermakna, sunnah Rasulullah s.a.w. itu terlalu luas dan merangkumi segala macam urusan atau hal-hal kehidupan manusia telahpun ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.
Oleh itu, umat Islam hendaklah mengikut dan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam segala perkara kehidupan, dari hal-hal tentang mengurus atau mentadbir negara dengan amanah, tuntutan sunnah dalam berniaga, sunnah berpolitik, sunnah dalam mendidik anak isteri dan masyarakat. Sunnah Rasulullah s.a.w. dalam bergaul dengan masyarakat sesama umat Islam dan dengan masyarakat bukan Islam. Sunnah Rasulullah s.a.w. dalam kepimpinan. Sunnah dalam akhlak, sikap adil, amanah, cara beramal ibadat, berumahtangga, membantu isteri, menghormati orang, mengasihani orang muda, anak-anak dan sebagainya. Semua itu adalah sunnah yang ditunjuk, dibuat, dicatatkan dalam Hadith-hadith Baginda Rasulullah s.a.w.
Dan sebagai umat Islam yang beriman, inilah sebenarnya yang perlu kita contohi dalam semua perkara yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. dari awal hingga ke akhir hayat Baginda. Manakala panduan atau rujukan untuk umat Islam mengikut dan mengamalkan sunnah ialah kitab al-Quran dan Sunnah atau Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. itu sendiri. Selain itu, panduan umat Islam mengikut dan mengamal sunnah Rasulullah s.a.w. ialah dengan mengikut kehidupan para ulama warasatul-anbiya Ridhwanullahi 'alaihim, yakni mereka yang benar-benar beramal dengan penuh ikhlas segala sunnah Rasulullah s.a.w. secara istiqamah sama ada dalam waktu aman atau ketika umat Islam dilanda dharurat. Pendek kata, ulama warasatul-anbiya adalah mereka yang taat, patuh dan istiqamah beramal, bercakap, berfikir dan bertindak dengan berdasarkan ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w., tanpa tokok tambah amalan-amalan bid’ah yang menyesatkan dirinya dan umat Islam seluruhnya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Orang yang berpegang kepada sunnahku pada saat umatku dilanda kerosakan, maka pahalanya seperti seorang yang gugur syahid".
(HR At-Thabrani).
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. itu memang suatu yang diperintahkan dalam Islam. Sunnah itu boleh dikategorikan seperti berikut:
Pertama: ialah sunnah yang wajib diikut dan diamal seperti beriman kepada Allah serta rukun-rukun iman lainnya, mengerjakan ibadat sembahyang, menunaikan zakat, puasa di bulan Ramadhan, menuntut ilmu, mengajak orang berbuat yang makruf dan ke-baikan, melarang atau mencegah orang dari berbuat mungkar, mentaati ibubapa, seterusnya melaksanakan amanah sama ada amanah atau tugas sebagai ketua rumahtangga, ketua pejabat, guru, doktor, hakim, peniaga/korporat, hatta ketua kampung, apa lagi sebagai pemimpin negeri atau negara dan sebagainya.
Kedua: ialah amalan sunnah hukumnya sunat sahaja seperti memberi salam, berpuasa sunat, bersedekah sunat, berzikir, memakai pakaian berwarna putih, berserban, masuk masjid dengan doa dan kaki kanan dan lain-lain lagi.
Untuk melaksanakan semua itu. Tidak ada contoh, panduan atau model terbaik umat Islam melainkan diri Rasulullah s.a.w.. Ini berdasarkan apa yang ditegaskan dalam al-Quran. Firman Allah S.W.T.:
Yang bermaksud:"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula berzikir (menyebut dan mengingati) Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."
(S. Al-Ahzab: 21).
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Demikianlah, sewajarnya umat Islam menjadikan diri Rasulullah s.a.w sebagai contoh dan model terbaik dalam menjalani kehidupan kita sama ada dari sudut kehidupannya, akhlak, cara bercakap, kepimpinan, berpolitik, mentadbir, berkeluarga, pendidikan, berniaga, sosial dan sebagainya. Percaya dan yakinlah bahawa mengikut serta mengamalkan cara hidup atau sunnah Rasulullah s.a.w. itu akan memberi kita manfaat yang besar, keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Aku telah tinggalkan untuk kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu: Kitabullah (al-Qur'an) dan Sunnah Rasulullah s.a.w.".
(HR Imam Malik dan Muslim).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment